January 31, 2013

Adab Bersembang :')



Sesungguhnya Islam itu agama yang sangat indah. Islam tidak menyukarkan kehidupan umatnya, malah semakin memudahkan. Sesuatu perkara menjadi sukar adalah atas kealpaan kita sendiri yang tidak mengikut ajaran Allah yang disandarkan kepada RasulNya, Nabi Muhammad SAW.

Hari ini penulis nak share satu artikel yang penulis baca masa blog-walking tadi. InshaAllah dengan harap sedikit maklumat ringkas ini sedikit sebanyak dapat memperbetulkan niat anda dan penulis sendiri semasa bergaul.

1. Bersembang menggunakan suara yang rendah dan lembut.

Bercakap menggunakan suara yang tinggi menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Tetapi, bagi perempuan yang berbicara dengan lelaki, elok sekiranya suara perempuan itu dikasarkan agar tidak menimbulkan salah sangka kepada orang sekeliling. Hai perempuan, suara kita kan mahal ;')\

2. Tidak menunjuk pandai

"Berbicaralah kepada manusia mengikut kemampuan akal mereka" - Hadis Riwayat Muslim

Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."

Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."

Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.

3. Biarkan mereka habis berbicara dahulu

Menurut Ibrahim bin al-Junaid ;
"Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."

 Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. 

Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."

Sumber ; iluvislam.com :) Terima kasih